SELAMAT DATANG KE BLOG SEKOLAH KEBANGSAAN CHIKU 7 GUA MUSANG KELANTAN

Selamat Kembali Ke Sekolah

Selamat kembali ke sekolah diucapkan kepada semua guru dan murid SK Chiku 7. Diharap semua guru dan murid kembali ke sekolah dengan semangat yang berkobar-kobar untuk mencurah dan mencari ilmu.

Pada tahun 2010, 3 orang guru telah berpindah ke sekolah lain. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih atas segala jasa dan sumbangan yang telah mereka curahkan kepada sekolah selama ini. Pengorbanan dan jasa mereka tidak akan dilupakan buat selamanya.
Sementara itu seramai 5 orang guru baru pula telah dihantar bertugas di SK Chiku 7. Pihak sekolah mengucapkan selamat datang kepada guru-guru baru ini. Semoga cikgu-cikgu berasa selesa dan gembira bertugas di sini. Pihak sekolah juga berharap dengan kehadiran cikgu-cikgu sekalian, prestasi sekolah akan semakin meningkat dan lebih berjaya dalam pelbagai bidang.

Kepada semua murid, diharap anda semua datang ke sekolah dengan azam yang tinggi untuk menuntut ilmu. Buangkan sikap malas yang ada dalam diri. Belajarlah rajin-rajin. Jangan suka main-main. Ikuti ajaran guru dengan penuh perhatian dan ketekunan, anda pasti akan berjaya.

Kepada ibu bapa dan penjaga murid-murid, pihak sekolah mengharapkan kerjasama yang baik dari pihak tuan puan sekalian. Kerjasama pihak tuan puan adalah penting bagi meningkatkan prestasi pelajaran anak-anak tuan puan. Begitu juga dengan aktiviti kokurikulum, diharap tuan puan tidak menghalang malah menggalakkan anak-anak tuan puan menyertai aktiviti kokurikulum.

Pihak sekolah berharap, tahun 2010 ini akan memberikan kejayaan yang lebih gemilang kepada SK Chiku 7.

Selamat Maju Jaya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...