SELAMAT DATANG KE BLOG SEKOLAH KEBANGSAAN CHIKU 7 GUA MUSANG KELANTAN

Insentif untuk tenaga pengajar cemerlang - TPM

SIBU 8 Mei - Kerajaan akan memberi insentif kepada pengetua, guru besar dan guru-guru yang berjaya menjadikan sekolah mereka mencapai tahap cemerlang dalam Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Timbalan Perdana Menteri berkata, insentif penggalak itu akan menjadikan tanggungjawab memajukan sekolah dan meningkatkan kecemerlangan pelajar bukan hanya dipikul pada bahu seorang guru, pengetua atau guru besar tetapi adalah tanggungjawab semua sebagai satu kumpulan.
"Ini adalah satu insentif penggalak untuk guru-guru, guru besar atau pengetua yang berjaya menaikkan prestasi dan kecemerlangan sekolah dalam SIP," kata beliau berucap di Majlis Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kesatuan Guru Sarawak (STU) Bahagian Sibu kali ke-45 di sini hari ini.
Menurut beliau, Kementerian Pelajaran mahu semua sekolah di negara ini yang berjumlah lebih kurang 10,000 buah sekolah menjadi cemerlang dalam usaha melahirkan lebih ramai modal insan yang mampu memenuhi aspirasi negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru persatuan dan kesatuan guru bekerjasama dan menjalinkan hubungan yang rapat dengan kerajaan.
Mengulas mengenai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengakui bahawa tiada sekolah di Sarawak yang dipilih menyertai kumpulan elit tersebut.
Bagaimanapun, katanya, pemilihan sekolah untuk menjadi kumpulan elit tersebut dilakukan berdasarkan penanda aras yang tinggi mengikut piawaian global supaya sekolah di Malaysia setanding di peringkat antarabangsa.
"Kenapa sekolah di Sarawak tiada (SBT)...ia bukan kerana sekolah di Sarawak tiada yang bagus, tetapi kerajaan memerlukan sekolah yang setanding di peringkat antarabangsa.
"Kerajaan bukan amalkan diskriminasi atau selektif sebab selain Sarawak, Sabah, Pahang, Terengganu juga tiada SBT. Kerajaan ada kriteria yang telah ditentukan," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pada tahun ini akan ada lagi 30 buah sekolah yang dinilaikan untuk dimasukkan dalam SBT dan ia akan melibatkan sekolah di Sarawak.
Beliau juga memberitahu, di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sektor pendidikan, bidang yang ditekankan ialah untuk meningkatkan pendidikan prasekolah daripada 67 peratus pada masa ini kepada 87 peratus termasuk di pedalaman.
Dalam merealisasikan usaha itu, kerajaan akan memberi geran sebanyak RM10,000 kepada bekas guru atau pihak swasta yang membuka prasekolah termasuklah di rumah-rumah panjang dan sebagainya, jelas beliau.
Katanya, amalan 3M iaitu Membaca, Menulis dan Mengira juga akan ditetapkan pada tempoh tiga tahun pertama persekolahan yang bermaksud murid-murid di darjah tiga semestinya telah menguasai tiga perkara asas tersebut.
Muhyiddin juga mengumumkan hasrat kementerian untuk melaksanakan dasar pemindahan guru ke luar bandar yang lebih baik dan memerlukan semua guru perlu bertukar ke sekolah lain dalam tempoh perkhidmatan.
"Disebabkan tiada dasar jelas atau rekod, menyebabkan ada guru yang lama bertugas di sebuah sekolah sahaja," katanya.

Dipetik dari : http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...