SELAMAT DATANG KE BLOG SEKOLAH KEBANGSAAN CHIKU 7 GUA MUSANG KELANTAN

Kita tidak sibuk, tetapi menyibuk

Oleh - Norden Mohamed

Dari semasa ke semasa, saya bertemu dengan orang yang kerap komplen mengatakan dia terlalu sibuk. Kononnya kerjanya tidak selesai kerana tugasannya banyak. Kalau dia bertugas di pejabat, dia memberi alasan kerjanya tidak beres kerana failnya bertimbun.

Kalau dia bekerja di luar pejabat, alasan tugasnya yang tertunggak itu berpunca kerana terlalu banyak temu janji yang perlu dihadiri hingga tidak sempat menyudahkan sesuatu kerja yang diberikan.


Dalam pada itu, saya biasa berjumpa dengan orang yang terpaksa menangani begitu banyak kerja, tetapi tidak pernah merungut. Segala kerja yang diberi diterimanya dengan selamba tanpa kerutan di dahi. Apabila tiba deadline, kerjanya siap sempurna dan menyenangkan hati.

Terdapat perbezaan yang ketara di antara orang yang suka komplen dengan orang yang tidak pernah merungut. Orang yang suka komplen biasanya bukannya sibuk, tetapi menyibuk. Masanya kononnya tiada, tetapi dia sempat pula melayari Internet, bersms mahupun bersembang dengan mereka di kiri dan kanannya dan juga di tingkat yang lain dengan cara berchatting.

Sebaliknya, orang yang tidak pernah merungut bila kerjanya banyak sebenarnya betul-betul menyibukkan diri dengan menyelesaikan segala tugas yang diberikan. Dia tidak membuang masa dengan menepati masa. Kerana itu, masa yang digunakan untuk menyiapkan sesuatu tugasan itu tidak panjang dan terbuang.

Apa yang membezakan di antara mereka yang berjaya dan mereka yang tidak pernah pun berjaya ialah cara mereka menangani masa. Orang yang tidak berjaya selalunya membazir masa. Sebaliknya orang yang berjaya selalunya menggunakan masa dengan sepenuhnya.

Pak menteri contohnya, merupakan orang yang berjaya. Dalam perjalanan ke tempat kerja, dia menghabiskan masanya dengan membaca akhbar. Sebaik sahaja memasuki pejabatnya, dia menghadiri mesyuarat dan brainstorming hingga ke tengah hari. Waktu makan tengah harinya akan digunakan untuk berbincang dengan pelabur.

Kemudian dia akan menghadiri majlis perasmian, mungkin sebesar pelancaran sebuah kawasan perumahan ataupun sekecil memberi bantuan kepada fakir miskin. Sekembalinya ke pejabat, akan ada temu janji lagi ataupun dihubungi pihak media untuk memberi komen terhadap sesuatu isu berkaitan dengan kementeriannya.

Jamuan makan malam bukan semata-mata makan-makan dan sembang-sembang. Sebaliknya jamuan makan malam pak menteri selalunya penyeksaan dalam penantian. Ia dipenuhi dengan ucapan, penyampaian anugerah demi anugerah sebelum bersurai sehingga melewati jam 11 malam.

Pulang ke rumah, pasti ada penyokong parti yang menunggu memohon pandangan dan nasihat. Sehingga jam 2 atau 3 pagi dia mungkin perlu menyelesaikan tugas-tugas pejabat seperti menandatangani pelbagai dokumen sebelum dapat melelapkan matanya.

Seseorang biasa yang pandai menggunakan masa juga akan berjaya. Dia mungkin seorang kerani. Untuk memajukan dirinya, dia mengambil diploma melalui program Pengajian Luar Kampus. Pada hari-hari yang dia tidak menghadiri kelas, dia akan berniaga seperti menjual burger.

Ramai daripada kalangan mereka ini sudah berkeluarga dan masih boleh menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan ayah. Saya biasa menemui mereka yang membuat kerja sambilan dengan memandu teksi, berniaga, menjadi ejen jualan langsung, katerer dan juga broker.

Justeru itu, tiada sesiapa pun yang boleh komplen yang dia tidak mempunyai masa. Allah SWT yang mencipta dan mengurus masa memberikan semua insan 24 jam sehari. Tiada seorang insan pun diberi lebih masa seperti 25, 26 atau 27 jam sehari agar dia dapat menjadi produktif lebih daripada orang lain.

Kerana itu, andainya dia masih komplen, ertinya dia sendiri yang memendekkan masanya kerana bukankah komplen itu membazir waktu?

Dipetik dari     : http://www.sinarharian.com.my/com/content/story6453110.asp

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...